KEPENTINGAN SUNGAI
Memang tidak dapat dinafikan bahawa sungai merupakan nadi
kehidupan kita. Namun begitu, selaras dengan peralihan zaman, masalah
pencemaran air semakin menjadi-jadi. Pencemaran yang berlaku telah
mengakibatkan kawasan tadahan air dimusnahkan. Hal ini juga telah banyak
memberikan implikasi yang buruk kepada manusia dan hidupan lain, terutamanya hidupan
akuatik. Pembuangan sampah sarap dan sisa toksik ke dalam sungai telah membawa
kepada pencemaran sungai. Sungai yang tercemar akan menjadi semakin cetak dan
mudah menyebarkan penyakit kencing tikus. Lama-kelamaan, dunia juga akan
menghadapi krisis bekalan air bersih. Dengan ini, kita wajiblah mengekalkan
kebersihan sungai sebelum keadaan sungai menjadi teruk kerana sediakan payung
sebelum hujan.
Sejak zaman lampau lagi, sungai telah memainkan peranannya
yang penting dalam kehidupan harian kita. Sungai merupakan sumber bekalan air
yang utama kepada manusia dan haiwan. Manusia menggunakan air untuk pelbagai
tujuan seperti sebagai air minuman dan kegunaan domestik. Bekalan air yang
bersih sangat penting dalam kegunaan harian supaya peralatan yang kita guna
akan sentiasa dicuci dengan bersih. Hal yang demikian kerana peralatan yang
kotor lazimnya mempunyai bakteria pada permukaanya yang akan mempengaruhi
kesihatan kita. Jika peralatan berkenaan tidak dicuci sehingga bersih,
kuman-kuman seperti pada permukaan pinggan akan masuk ke dalam badan kita.
Lanjutan itu,kita akan menghidap sesuatu penyakit. Jelaslah bahawa betapa
pentingnya sungai dalam kehidupan harian kita. Oleh itu,cintailah sungai kita
dengan memelihara dan memulihara sungai supaya dapat memastikan bekalan air
bersih yang berterusan.
Tambahan pula, sungai membekalkan makanan dan pendapatan
kepada manusia. Sungai merupakan habitat haiwan akuatik seperti ikan, udang dan
ketam yang membekalkan sumber protein yang mencukupi kepada manusia. Menurut
laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, sumber protein yang
terdapat dalam ikan, udang dan ketam sangat tinggi. Pengambilan protein yang
mencukupi membolehkan tumbesaran badan kita berkembang dengan seimbang.
Sementara itu, sungai mewujudkan peluang pekerjaan dan menambahkan pendapatan.
Hal ini kerana sungai memberi rezeki kepada mereka yang menetap berhampiran
sungai dengan melakukan aktiviti menangkap hasil sungai seperti ikan dan udang.
Tuntasnya, kita seharusnya menyayangi sungai yang membekalkan makanan dan
pendapatan kepada kita.
Peranan sungai juga dapat dilihat apabila sungai dijadikan
sebagai tempat rekreasi dan pelancongan. Hal ini kerana sungai mempunyai
landskap yang menarik. Sebagai contohnya, Negara Endau-Rompin yang terletak di
legeh sungai Endau dan sungai Rompin telah dijadikan sebagai kawasan rekreasi
yang menjadikan tarikan pelancongan. Pelbagai aktiviti boleh dijalankan di
kawasan tersebut seperti berkayak,menjejaki hutan, memancing dan berkelah.
Selain itu, sungai digunakan untuk menjana hidroelektrik dengan membina
empangan untuk membekalkan sumber tenaga kepada rakyat. Empangan yang dibina
juga berpotensi menjadi suatu kawasan pelancongan yang menarik. Secara langsung
dan tidak langsung, sektor pelancongan negara akan berkembang pesat. Oleh itu,
kita sewajarnya mengekalkan kebersihan air sungai supaya kawasan sungai dapat
dijadikan sebagai tempat pelancongan.
Sungai juga memainkan peranannya sebagai medium pengangkutan
dan perhubungan. Hal ini disebabkan oleh sungai telah menjadi jalan perhubungan
utama untuk menghubungkan kawasan pedalaman dengan kawasan bandar. Kawasan yang
tidak dapat dihubungkan dengan jalan raya juga dapat dihubungkan dengan
menggunakan jalan air. Keadaan ini akan memajukan sistem pengangkutan di negara
kita dengan mempunyai pengangkutan darat, udara dan air. Sebagai contoh, sungai
dapat mengangkut kayu balak dari hutan ke kawasan bandar. Hal ini bukan sahaja
menjimatkan tenaga pekerja, malah juga dapat menjimatkan kos pengangkutan.
Dengan ini, kita mestilah menyayangi sungai supaya fungsinya sebagai medium
pengangkutan dan perhubungan dapat dilestarikan.
Kesimpulannya, kepentingan sungai kepada manusia memang
sudah dikawal pasti sejak zaman-berzaman. Sungai memainkan peranan yang besar
dalam membekalkan makanan dan minuman kepada manusia. Pada masa dahulu sungai
telah dijadikan sebagai jalan perhubungan antara satu tempat ke satu tempat
yang lain. Bagi memelihara sungai, pelbagai prakarsa telah dijalankan oleh
pihak berkuasa seperti Kempen Cintai Sungai. Sungai yang tercemar akan
memudaratkan kehidupan. Oleh itu, wajarlah sungai dipelihara untuk tatapan
generasi akan datang bagi menjamin kesinambungan kehidupan di muka bumi ini.
Sumber:http://zaizak69.blogspot.my/2011/10/kepentingan-sungai.html
No comments:
Post a Comment